Saturday, March 27, 2010

Badan Yang Gondol

Biri-Biri Biru mengembek sendiri.Dibeleknya seluruh badan.Togel.Semuanya habis diketam.Adalah kira-kira 70 helai bulu sahaja yang tinggal.Biri-Biri biru tersengih.Hilang seri bila seluruh bulu birunya hilang.Dalam hati; panik juga.

Banyak gunanya bulu Biri-Biri Biru.Buat benang.Buat baju.Tapi ini pertama kali setelah beberapa tahun, si gembala terketam semua bulunya.Alasannya untuk dibuat selimut?! Biri-Biri biru menggeletar.Menahan sejuk akibat tiada bulu.

KALAULAH.. Biri-Biri Biru seperti kambing gurun; bebas hidup di gunung tanpa gangguan si gembala. Tanpa perlu diketam bulu.Tapi kalau difikirkan, hapak pula kalau bulu tidak diketam.Tiba-tiba pula Biri-Biri Biru berfikiran positif.Esok-esok tumbuhlah semula bulu birunya itu.Kembali menjadi Biri-Biri Biru.Yakin.

Friday, March 26, 2010

Sarang Di Pokok Yang Tinggi

Penat juga Helang Biru melayang pulang setiap hari ke sarang.Kadang-kadang penuh dengan ikan di mulut.Untuk anak-anak yang baru belajar mengibas-ngibas sayap.Walaupun telah biasa, terkial-kial juga Helang Biru untuk sampai.Terfikir juga kenapa tidak ikut saja seperti burung lain; tinggal di puncak batu ataupun di tempat paling mudah; dalam sangkar.Mudah dan terjaga.

Sarangnya memang tinggi sebab Helang Biru memang suka begitu.Rasa selamat.Atau mungkin sebab pokok tempat sarangnya berada terletak di sebelah sungai.Tenang.Seronok memerhati anak-anak ikan bermain melawan arus sungai.Cuba memujuk hati sebenarnya.

KALAULAH.. Helang Biru seperti merpati putih; semuanya tersedia tanpa perlu banyak usaha.Sarang cantik, hidup berkumpulan dan paling seronok apabila makan terhidang.Hanya perlu mematuk.Namun, Helang Biru bangga dengan sarang rumputnya sebab yakin merpati tidak akan mampu hidup sepertinya.Bebas!

Wednesday, March 24, 2010

Sang Kerbau Yang Tabah Hati

Sekenit biru pucat.Terkejut.Langkah sang kerbau tiba-tiba canggung.Kakinya longlai.Baru saja mereka melangkah keluar dari klinik haiwan di pinggir desa setelah pagi tadi sang kerbau mengadu dadanya sakit.Betul-betul sakit semasa hendak menuju ke petak sawah.Macam selalu.

Sekenit biru terharu.Tidak semuanya dapat dirawat tadi.Sang kerbau jelas daif.Parut dimuka.Mata kirinya kabur.Kaki kanan belakang yang tidak boleh diangkat. Itu Sekenit Biru kurang pasti pula apa sebabnya.Lemah saja suara sang kerbau apabila sekenit biru mengajaknya berehat di bawah pokok.Rupanya ada duri tercucuk kaki.

KALAULAH... sekenit biru mempunyai kudrat seperti sang kerbau; akan dibantunya sang kerbau sepenuh hati. Itu janjinya.Berehatlah sang kerbau.Esok akan ada doktor haiwan datang melawat.Pasti!

Thursday, March 18, 2010

Berat Hati Nak Terbang

Layang-layang biru termanggu sendiri.Mahu cair juga tahi telinga dek kena leter dengan penghulu layang-layang.Bukan mahu menolak untuk migrasi ke selatan tapi layang-layang biru punya alasan sendiri.

Jauh layang-layang biru termenung.Sayapnya sedikit koyak.Berlumpur.Tidak pasti samada penghulu layang-layang nampak atau tidak.Entahlah.Rasanya akan digagahi juga untuk terbang walaupun dengan berat hati.Cuba menyedapkan hati; layang-layangkan burung migrasi.

KALAULAH.. Layang-layang biru burung jenis lain; tidak perlu migrasi.Migrasi memang seronok buat layang-layang biru tapi kenalah pada musimnya.Sekarangkan musim hujan.Biarlah.Layang-layang biru melebarkan kepak dan terbang perlahan-lahan.Destinasi?

Wednesday, March 17, 2010

Kerbau Yang Semakin Uzur

Sekenit biru mengeluh panjang. Bukannya apa, kerbau yang menjadi tumpangannya semakin uzur. Semakin kerap sakit. Kalau dulu setakat demam-demam biasa saja, ataupun kaki depan atau belakang yang terkena duri. Itu saja. Tapi kali ini lain benar sakitnya.

Sekenit biru menghela nafas panjang. Lama sudah rasanya sekenit biru tidak menolong sang kerbau, hanya menumpang setiap hari.Bukannya dia tidak mengambil berat tentang kesihatan si kerbau tapi apalah sangat kederat sekenit biru. Tidak termampu untuk mengambil tahu tentang semua hal.

KALAULAH... sekenit biru ada rakan lain untuk ditumpang; tidaklah dia terlalu berharap sangat kepada sang kerbau. Sang kerbau sudah banyak berjasa, 4 tahun lebih sekenit biru menumpang dia. Semoga mereka ada beberapa tahun lagi bersama.

Tuesday, March 16, 2010

Makanan Yang Tak Terurus

Semut biru geleng kepala. Makanan yang dibawa balik masih ditangan. Tidak tahu di mana harus di letak. Bukannya tidak boleh semut biru masuk ke ruang simpanan sendiri,takut pula dituduh semut biru teringin menjadi semut tentera; golongan pemerintah.

Entah ke mana pula semut yang menjaga ruang simpanan ini pergi?Aneh juga sebab semua semut lain pagi lagi sudah nampak muka. Hampir setiap hari semut ruang simpanan ni buat hal. Terkebil-kebil mata semut biru, sudah tidak tahu apa yang perlu dibuat lagi. Kuota mengumpul makanan harus dipatuhi.

KALAULAH... semut biru memang semut tentera; takkan semut biru mengadap kerenah kecil tapi yang tidak boleh selesai ini setiap hari. Apa boleh buat, ada lagi 25 minggu kehidupan sebagai semut pekerja harus ditempuhi.